Wanita buat aksi ‘wheelie’ ditahan polis

0
1

DUA individu membabitkan seorang wanita dan remaja lelaki ditahan susulan melakukan aksi ‘wheelie’ menggunakan motosikal di Batu Pahat, seperti tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan satu rakaman video pada jam 2.30 petang semalam.

Menurutnya, video yang tular di media sosial itu memaparkan seorang wanita melakukan aksi ‘wheelie’ sebuah motosikal yang dibonceng bersama seorang remaja lelaki.

Katanya, siasatan mendapati aksi ‘wheelie’ berdurasi selama 31 saat itu berlaku pada 10 Mei lalu di Jalan Dato’ Syed Esa, Batu Pahat.

“Bertindak atas maklumat, pada 4.45 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Trafik IPD Batu Pahat berjaya menangkap wanita berusia 21 tahun dan remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai melakukan aksi berkenaan.

“Tangkapan dilakukan di rumah kedua-dua individu di Jalan Pantai, Batu Pahat dan sebuah motosikal juga disita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua tangkapan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda minimum RM5,000 atau tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

“Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak melakukan aksi-aksi yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here