5 petugas KKM maut akibat Covid-19 – Dr Adham Baba

0
2

SERAMAI 6,725 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti Covid-19 dan lebih tragis lima kematian akibat wabak itu direkodkan setakat 15 Mei lalu sejak pandemik berkenaan melanda negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mendedahkan statistik itu berkata, data turut menunjukkan 802 petugas barisan hadapan itu atau 12 peratus daripada jumlah yang dijangkiti mendapat jangkitan daripada pesakit ketika bertugas.

“Walaupun lengkap berpakaian sut perlindungan PPE, ‘frontliners’ terutamanya petugas kesihatan tetap berisiko dijangkiti berikutan tuntutan tugas yang memerlukan mereka mengendalikan pesakit secara dekat.

“Virus tidak mengenal lengkap atau tidak pakaian PPE. Ia hanya mampu mengurangkan penularan dan langkah sebaiknya adalah menjaga jarak.

“Namun sebagai petugas kesihatan, agak sukar menjaga jarak fizikal kerana mereka perlu melakukan pelbagai tugas melibatkan sentuhan antaranya mengalihkan pesakit, menyedut kahak, intubasi dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, seramai 3,343 petugas kesihatan dijangkiti menerusi komuniti, 2,030 petugas dijangkiti dalam kalangan sesama petugas kesihatan, 393 petugas kesihatan masih di bawah siasatan dan 157 petugas kesihatan daripada lain-lain punca.

Katanya, petugas KKM paling ramai dijangkiti adalah jururawat iaitu seramai 2,445 diikuti pegawai perubatan (893); pembantu perawatan kesihatan (584 ); penolong pegawai perubatan (565); pegawai perubatan siswazah (367); pakar perubatan (141) dan lain-lain seramai 1,729 orang.

“Walaupun peratusan pakar perubatan yang dijangkiti hanya dua peratus namun ia melibatkan jumlah agak besar iaitu 141 orang dan mereka ini diperlukan dalam menangani situasi Covid-19,” katanya.

Dr Adham menegaskan, adalah penting untuk memastikan keselamatan petugas barisan hadapan terutama ketika bertugas kerana mereka ini adalah benteng pertahanan kesihatan negara.

“Semua frontliners ini terdedah kepada risiko jangkitan dan disebabkan itu kita mewajibkan pemakaian lengkap PPE ketika bertugas.

“Kita mahu mengurangkan risiko jangkitan dan menyelamatkan nyawa. Itu yang kita panggil lindung diri, lindung semua,” ujarnya.

Menurutnya, dalam situasi genting yang menyaksikan petugas KKM semakin kepenatan, katil-katil wad ICU semakin tidak mencukupi dan kapasiti hospital Covid-19 di seluruh negara hampir mencapai tahap maksimum, masyarakat sendiri harus memainkan peranan.

“Masyarakat harus berperanan menjaga diri dan cara paling berkesan adalah dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Dr Adham turut berpendapat petugas barisan hadapan yang sembuh dari Covid-19 dan kembali bertugas perlu diberi Penghargaan sewajarnya.

“Kalau kita tidak menghargai mereka, siapa lagi? Mereka bergadai nyawa untuk terus bertugas. Mereka perlukan doa dan sokongan daripada rakyat untuk terus berada di barisan hadapan dan menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

“Doa-doa ini juga perlu disertakan dengan pengorbanan orang ramai itu sendiri. Kita sama-sama mengamalkan norma baharu kehidupan dan mematuhi garis panduan untuk mengelak dan memutuskan rantaian Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here