Fitnah di media sosial makin berleluasa – Dr Noor Hisham

0
2

Fitnah di media sosial makin berleluasa – Dr Noor Hisham

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyangkal dakwaan terbabit dalam kegiatan ‘Freemansons’ seperti tular di media sosial baru-baru ini. 

Ia susulan fitnah disebarkan melalui penularan gambarnya ketika menerima Ijazah Fellowship Ad Hominem dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) pada 2018 yang dikaitkan dengan upacara keagamaan berkenaan. 

Dr Noor Hisham berterima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah RCSEd Malaysia dan bekas penasihat antarabangsa RCSEd, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid atas pencerahan mengenai fitnah itu. 

“Penyebaran fitnah melalui media sosial dalam kalangan masyarakat masa kini semakin berleluasa dan sukar ditangani. Kebanyakan aplikasi media sosial diguna bagi menyebarkan pelbagai berita dan cerita palsu berunsur fitnah. 

“Alhamdulilah pihak RCSEd telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari ini (semalam). Terima kasih saya ucapkan kepada Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid atas pencerahan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi. 

Beliau turut menyertakan kenyataan rasmi RCSEd mengenai perkara itu yang dikongsi Dr Hanafiah di Facebooknya. 

Terdahulu Dr Hanafiah menjelaskan mengenai fitnah berkenaan dan pihaknya kemudian meminta RCSEd membuat kenyataan berhubung dakwaan berkenaan. 

“Baru-baru ini saya terbaca fitnah besar, di mana gambar Tan Sri Dr Noor Hisham dikaitkan dengan upacara Freemasons dan keagamaan. Ini tidak benar sama sekali.

“Gambar beliau (Dr Noor Hisham) adalah bersama Presiden RCSEd, Professor Michael Lavelle Jones. Saya menjadi saksinya dan telah memohon RCSEd membuat kenyataan,” katanya.

Dr Hanafiah berkata, kenyataan itu dibuat bukan kerana beliau kawan atau rakan pakar bedah, tetapi sebagai ahli Lembaga Pengarah RCSEd Malaysia dan bekas penasihat antarabangsa RCSEd.

“Saya sebagai manusia biasa yang ingin menyatakan kebenaran. Kalau ada yang salah perlu ditegur supaya kita semua dijauhi dari fitnah.

“Saya menyeru kepada semua untuk menyemak fakta sesuatu bahan diterima sebelum disebarkan. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah dan pertunjuk kepada kita semua,” katanya lagi.

Dalam perkongsian terbabit, beliau turut menyatakan Dr Noor Hisham menerima ijazah itu bagi mengiktiraf kepakarannya sebagai pakar bedah tersohor di bidang pembedahan endokrin. 

RCSEd adalah institusi pembedahan tertua di dunia dan mempunyai felo serta ahli lebih 30,000 orang pakar bedah dari seluruh dunia. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here