Covid-19: Masih ramai penduduk Kelantan acuh tak acuh

0
1

DI sebalik kes harian Covid-19 melebihi 400 setiap hari di Kelantan, masih ramai penduduk negeri itu acuh tak acuh dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata antaranya tidak memakai pelitup muka dan keluar rumah tanpa tujuan.

“Berborak lama, berderak (jalan-jalan), bergelewak (menyibuk) di tempat-tempat tidak penting, bawa anak kecil, orang tua uzur keluar rumah dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dr Iznani berkata sudah dua tahun negara berperang dengan Covid-19 dengan pelbagai kawalan pergerakan dikuatkuasakan dan bermacam jenis SOP telah ditetapkan, namun sejak beberapa hari lalu kes semakin meningkat di seluruh negeri itu.

“Di Kelantan setiap hari 400+ kes positif dicatatkan dengan beberapa tempat terpaksa dilaksanakan PKPD. Dahulu kematian dua atau tiga orang sehari di Malaysia kita mulai merasa bimbang, namun hari ini kes kematian mulai mencecah 40+ dan kes positif 6,000+ setiap hari.

“Keadaan Covid-19 ini adalah hal yang betul-betul berlaku dan hari ini jangkitan kes sedang berlaku melalui bermacam-macam kluster.

“Strain Covid-19 di Malaysia yang bermula daripada Wuhan, China dan bulan lepas Kementerian Kesihatan (KKM) menemui dua kes pertama individu dijangkiti daripada Varian Nigeria SARS-CoV-2, yang dikenali B1.525.

“Kes hari ini lebih bahaya kerana tidak menunjukkan simptom luaran seperti batuk, selsema dan demam namun secara senyap menyerang dan melumpuhkan sistem imuniti sehinggakan boleh membawa maut,” katanya.

Katanya lagi, kapisiti hospital kini kritikal apabila Unit Rawatan Rapi (ICU) dipenuhi dengan pesakit Covid-19, manakala Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) semakin banyak dibuka.

Keadaan itu katanya amat membimbangkan kerana jika dalam keadaan seminggu kes setiap hari dengan angka 6000+ di Malaysia dan kes di Kelantan 400+ di mana lagi pesakit-pesakit ini harus ditempatkan.

Sehubungan itu, beliau berkata mulai hari ini rakyat perlu lakukan kuarantin kendiri (self-quarantine) ataupun disiplin kendiri (self-discipline).

“Hadkan pergerakan ke luar rumah, keluar hanya perlu dan rancang masa keluar. Jangan sesekali membiarkan penguatkuasa mendisiplinkan kita, alangkah baiknya jika kita sendiri mendisiplinkan diri.

“Janganlah kita suka mendengar dan menyebarkan berita palsu di media massa terutama isu vaksin. Vaksin yang digunakan di Malaysia telah diakui oleh Pakar Biologi dan Pakar Imuniologi.

“Ini adalah salah satu ikhtiar kita dalam mengekang kes terus menular dalam komuniti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here