BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan semula dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang negara ini telah bankrap ketika Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil alih kerajaan pada 2018.
Najib berkata, jika negara telah brankrap seperti didakwa, kenapa masih ada RM600 bilion untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) belanja dalam masa begitu singkat ini.
“(Lim) Guan Eng kumpul, Tun M sumbang dari kekayaaan famili atau (Tan Sri) Muhyiddin Yassin menabung dari kecil ke?
“Pada PRU14, hutang negara sebanyak RM686.8b. Tun M kata kita sudah muflis. Selepas mereka belanja RM600b lagi, negara tak bankrap+muflis ke?,” katanya menerima hantaran di Facebooknya hari ini.
Najib seterusnya berkata, Dr Mahathir sebenarnya telah mengaku negara ada kekayaan RM2 trilion apabila beliau menjadi Perdana Menteri interim semasa Covid-19 mula mengancam, iaitu bertambah RM1.2 trilion dari RM800b dalam tempoh pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Tapi jangan harap dia akan mengaku kenaikan ini. Segan untuk dia jawab: ‘Perompak, penyamun, pencuri itu yang naikkan kekayaan negara dari RM800b ke RM2 trilion’,” katanya.
Bulan lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan PN telah membelanjakan RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19. – Malaysiapost

