Saiful Syahrul Mohd Hanafi
PERUBATAN Islam melalui kaedah Ruqyah Syar’iyah merupakan salah satu daripada kaedah rawatan yang mendapat tempat di kalangan masyarakat di Malaysia.
Ia telah wujud dalam masyarakat sejak dahulu lagi. Malah ia mula digerakkan secara formal melalui penubuhan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa) pada tahun 1988 yang diasaskan almarhum Tuan Guru Dato Dr Haron Din.
Semenjak dari itu, kaedah rawatan Islam menjadi tumpuan masyarakat sebagai salah satu kaedah rawatan komplimentari dalam mendapatkan kesembuhan daripada penyakit.
Keperluan masyarakat menjadikan kaedah rawatan ruqyah ini sebagai ikhtiar mendapatkan kesembuhan penyakit dapat dibuktikan melalui data bilangan kehadiran pesakit di pusat-pusat rawatan ruqyah.
Statistik kehadiran pesakit ke 86 Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa pada tahun 2015 ialah seramai 227,178 orang.
Pada 2019, jumlah PRK Darussyifa bertambah menjadi 95 keseluruhannya dan dianggar jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan Perubatan Islam di Darussyifa menjangkau 250,000 orang.
Angka ini hanya melibatkan PRK Darussyifa sahaja, belum lagi dengan persatuan lain seperti Darussalam dan seumpamanya. Bilangan angka kehadiran yang sebegini besar jelas menunjukkan kepada kita betapa khidmat rawatan Perubatan Islam secara ruqyah amat diperlukan dalam kalangan masyarakat.
Pada 2016, suatu akta iaitu Akta 775 Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016 telah diwartakan.
Di dalam akta ini, kaedah rawatan melalui Ruqyah Syar’iyah merupakan satu modaliti dalam Peraturan Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2021 di bawah bidang amalan Perubatan Islam.
Kesan positif
Perkara ini dilihat memberi kesan positif terhadap usaha untuk memartabatkan kaedah rawatan berasaskan ruqyah Syar’iyah secara lebih tersusun dan efektif.
Akta yang diwartakan ini bukanlah bersifat menghalang para pengamal perubatan tradisional, bahkan ia lebih dilihat sebagai satu bentuk kawal selia daripada pihak berwajib terhadap perkhidmatan sebegini.
Perkara demikian perlu kerana penawaran perkhidmatan kesihatan khususnya perlu mendapat seliaan berterusan daripada pihak berwajib kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa manusia.
Di dalam ajaran Islam, pemeliharaan terhadap nyawa merupakan satu daripada lima Objektif Utama Syariah yang perlu dijaga.
Selain itu, kawal selia ini dilihat dapat meningkatkan tahap profesionalisme dalam bidang Perubatan Islam khususnya.
Setiap pusat rawatan yang menawarkan khidmat rawatan perlu menyatakan secara jelas kaedah dan bentuk rawatan yang dijalankan kepada pihak berwajib.
Melalui kaedah ini secara tidak langsung dapat membendung berlakunya kaedah-kaedah rawatan yang mungkin boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat dan pesakit.
Sejak kebelakangan ini juga kita sering mendengar laporan akhbar berkaitan penipuan dan salah laku moral oleh segelintir individu yang mengaku dirinya pengamal Perubatan Islam.
Perkara ini jelas mencalarkan imej Perubatan Islam bahkan lebih teruk lagi mencalarkan imej Islam. Jadi, bagaimanakah kita ingin menghalang perkara ini daripada berlaku dan mencalarkan imej rawatan Islam? Antara lain adalah dengan menggunakan kaedah perundangan.
Jadi dengan wujudnya Akta 775 ini, kita berharap bahawa ia dapat mengawal dan menghalang perkara sebegini daripada berulang.
Kawal selia ini dapat dilihat dalam usaha untuk melaksanakan kehendak Akta 775, para pengamal perubatan ruqyah perlu mendaftarkan diri di Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari (BPTK), Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah mula dijalankan mulai tahun 2021.
Lalui tapisan
Setiap perawat akan melalui beberapa bentuk tapisan seperti saringan i-Syifa dan seumpamanya untuk melayakkan dirinya mendapat kelulusan menjalankan atau menawarkan perkhidmatan rawatan.
Pendaftaran dan saringan seperti ini sudah pasti dapat mengesan seterusnya mengawal daripada wujudnya kaedah-kaedah rawatan yang meragukan. Selain itu, ia juga dapat menghasilkan para perawat ruqyah yang kompeten dan mempunyai standard profesionalisme yang tinggi setaraf dengan bidang rawatan yang lain.
Antara aspek lain yang amat penting dari Akta 775 ini ialah penekanan yang khusus terhadap “tanggungjawab perawat”. Antara lain akta ini menekankan keperluan untuk merujuk kepada pakar perubatan jika berlaku penularan wabak penyakit, kawalan penggunaan alat peranti semasa menjalankan proses rawatan dan aspek-aspek tata tertib dan tata kelola yang baik di pusat-pusat rawatan.
Selain itu, akta ini menyentuh soal polisi pengiklanan dan promosi dan bidang kuasa pegawai penyiasat yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan dan menutup premis rawatan sekiranya melanggar undang-undang yang ditetapkan serta kuasa pendakwaan di mahkamah.
Di samping itu, wujud satu peruntukan khas berkait hak pesakit yang menyentuh tentang hak pesakit untuk menuntut ganti rugi jika berlaku kecuaian oleh perawat.
Dakwaan mengatakan bahawa kewujudan akta ini akan mencemarkan kesucian al-Quran dan seumpamanya itu perlu dibuktikan secara jelas.
Seperti yang telah disentuh sebelum ini yang mana perawat perlu melalui tapisan saringan i-Syifa contohnya, saringan ini dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kerjasama dengan agensi agama berautoriti sebegini menunjukkan kesungguhan KKM untuk memelihara aspek kesucian al-Quran atau Islam itu sendiri dalam melaksanakan Akta 775 ini. Saringan ini juga dilihat dapat menghalang segelintir individu daripada mempergunakan ayat al-Quran atau doa-doa yang dipetik daripada Hadith Nabi s.a.w dengan cara yang tidak benar yang mana perbuatan itu terlebih jelas menghina dan mencemar kesucian sumber agama Islam.
Sangkaan jelas meleset
Kami tertarik untuk memberi respon terhadap satu artikel yang ditulis di ruangan Minda Pembaca, akhbar Berita Harian bertarikh 9 April 2021 yang bertajuk “Nilai semula akta rawatan ruqyah bagi jamin kesucian al-Quran”.
Di dalam artikel tersebut antara lain penulis menyebutkan tentang “menjalankan amalan seperti disebut dalam surah al-Isra’ ayat 82 kini kunci rantainya dipegang KKM” dan “usaha membendung penyihiran kini bertukar kepada membendung orang membaca al-Quran sebagai syifa”.
Pada hemat kami, ini hanyalah sangkaan dan ia jelas meleset daripada kehendak sebenar akta tersebut. Jelas di dalam akta tersebut tidak ada halangan kepada umat Islam untuk membaca al-Quran sebagai syifa.
Ayat 82 surah al-Isra’ itu menyentuh perihal sifat al-Quran yang diturunkan itu adalah sebagai syifa (kesembuhan) dan rahmat kepada orang yang beriman secara umum. Apabila menjadikan sebahagian ayat al-Quran sebagai ikhtiar rawatan kemudian menawarkan pula kepada masyarakat itu telah menjadikan ia bersifat khusus.
Ini kerana ia melibatkan kaedah, bentuk bacaan dan sebagainya dalam usaha untuk mendapatkan kesembuhan daripada penyakit. Ia berkait dengan sektor perkhidmatan kesihatan di negara kita.
Justeru, amat wajar sekali ia dimasukkan di bawah seliaan KKM dan tidak sepatutnya timbul isu mengatakan akta ini menghalang umat Islam untuk membaca al-Quran sebagai syifa.
Perlu difahami usaha untuk membendung (merawat) penyihiran ini dilakukan hanya oleh golongan yang khusus menceburkan diri dalam bidang Perubatan Islam. Ia tidak dijalankan oleh semua umat Islam.
Tidak dinafikan kaedah ini pada awalnya dijalankan secara persendirian, namun oleh kerana ada di sana unsur demand, maka pusat-pusat rawatan yang menawarkan perkhidmatan ini tumbuh bagai cendawan di negara kita dewasa ini.
Apabila ada penawaran terhadap kesihatan, maka perlu diwujudkan suatu garis panduan atau peraturan supaya khidmat kesihatan yang ditawarkan itu adalah selamat dan diyakini. Di Malaysia, badan yang bertanggungjawab untuk menyelia soal kesihatan rakyat Malaysia ialah Kementerian Kesihatan (KKM). Jadi usaha KKM untuk menguatkuasakan Akta 775 ini seharusnya disokong supaya perkhidmatan kesihatan di negara kita bertambah baik.
Sebagai tamsilan kepada isu di atas, seseorang yang memasak di rumah, mereka tidak memerlukan persijilan halal daripada JAKIM dan kelulusan dari pihak PBT. Namun apabila seseorang itu ingin memberikan khidmat menyajikan makanan dan minuman seperti membuka restoran umpamanya atau menyediakan perkhidmatan yang melibatkan orang awam, maka mereka tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang ada di negara kita seperti lesen PBT, tahap kebersihan yang dipantau oleh KKM dan sebagainya.
Ini semua dilaksanakan demi menjaga kemaslahatan dan kesihatan umum serta mengawal daripada berlakunya unsur penipuan dan sebagainya. Begitu jugalah dalam usaha untuk menawarkan khidmat kesihatan secara ruqyah kepada masyarakat umum, perlunya ada peruntukan yang khusus berkaitan perkara tersebut dan ia dimanifestasikan dengan hadirnya Akta 775 ini.
Justeru, Akta 775 ini adalah sangat baik demi menjaga kesucian agama daripada golongan yang ingin mengambil kesempatan atau disebut “penunggang agama”.
Kesimpulannya, kewujudan Akta 775 dan perlaksanaannya amatlah diperlukan. ia dilihat hadir pada masa yang tepat sebagai satu bentuk kawal selia yang dapat memartabatkan lagi kaedah rawatan ruqyah dan secara tidak langsung dapat memelihara kesucian Islam itu sendiri. Sekali lagi diucapkan tahniah KKM, tahniah TCM. Wallahua’lam
.
Penulis ialah Penolong Setiausaha Agung 1
Darussyifa Malaysia

