SKUAD Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe turun menjalani sesi latihan kedua di Dubai, malam tadi dengan disertai kesemua 25 pemain yang telah tiba sepenuhnya.
Pemain terakhir yang menyertai latihan adalah Luqman Hakim Shamsudin yang tiba dari Belgium, menyusuli Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan.
Tiga lagi pemain tersebut menyertai kem latihan skuad kebangsaan dari kelab masing-masing di Australia dan Thailand, kelmarin.
Kelmarin, skuad Harimau Malaya berlepas dari Kuala Lumpur ke Dubai bagi menghadapi baki tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun ini.
Penerbangan sewa khas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi membawa 45 pemain serta barisan kejurulatihan, diketuai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Skuad kendalian Cheng Hoe akan mengadakan dua perlawanan pemanas badan bertemu Kuwait di Dubai esok, disusuli aksi mrnentang Bahrain di Manama.
Mereka kemudian memulakan aksi tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai iaitu bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021). – Malaysiapost

