PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu tunjuk kepemimpinan dan bukan tendang bola kat orang lain, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bekas Menteri Kewangan era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri bahawa prosedur operasi standard (SOP) sektor sosial dan ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan diketatkan.
Bagaimanapun perincian mengenainya kata Perdana Menteri akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Berikutan itu, Guan Eng mempersoalkan apa tindakan selanjutnya oleh kerajaan susulan langkah mengetatkan sektor sosial dan ekonomi yang akan diperincikan hari ini.
“Apa tindakan seterusnya? Mana bantuan ekonomi dan bantuan kewangan untuk selamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan malam tadi berkata, mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam sidang khas semalam, kerajaan bersetuju mengetatkan lagi PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.
PKP 3.0 sedang berlangsung selama empat minggu di seluruh negara bermula 12 Mei lalu. – Malaysiapost

