WAN Hassan Wan Ali tidak sempat berpindah ke rumah baru apabila maut selepas kenderaan dipandunya meletup di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Isterinya Faridah Hussin, 49, berkata sudah menjadi rutin setiap petang suaminya berulang alik jalan berkenaan dari Kampung Sireh ke Kampung Kota, kerana mereka akan berpindah ke rumah baru tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, keterujaan untuk pindah ke rumah baharu kini sudah tiada dengan apa yang terjadi hari ini, saya reda namun pasti mengambil masa untuk membiasakan diri tanpa dia di sisi,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Faridah berkata, dia pada mulanya tidak menyangka suaminya menjadi mangsa dalam kejadian itu selepas diberitahu anak keduanya bahawa kereta terbabit bukan milik mereka.
Namun, namun anak sulungnya, Wan Nur Hidayah, 22, sekali lagi ke lokasi sebelum mengesahkan ia adalah kenderaan ayahnya memandangkan dia lebih biasa dengannya.
Dia yang masih dalam keadaan terkejut, memberitahu kali terakhir berjumpa suami pada 4 petang ketika mangsa menghantarnya ke rumah saudaranya di Kampung Tanjung Chat di sini, dan berlalu pergi tanpa sebarang perlakuan yang mencurigakan.
“Sebaik diberitahu, ia (kejadian itu) membabitkan suami, saya terus ke lokasi kejadian dan badan saya bagaikan kaku seketika apabila dia dalam keadaan yang sudah tidak sempurna susulan letupan terbabit.
“Hanya tuhan yang tahu betapa luluhnya hati saya. Kami sekeluarga tidak berganjak ke tempat lain dan hanya berkumpul di lokasi kejadian sehingga jenazah suami dibawa ke hospital sambil membaca ayat suci al-Quran sebagai satu-satunya cara untuk tenangkan kami.
“Sekarang kami serah sahaja kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dan Insya-Allah…jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh selepas semua urusan selesai,” katanya yang masih sugul. – Malaysiapost

