Tun Dr Mahathir Mohamad terus meminta Datuk Seri Najib Razak menjelaskan punca RM114 juta disita polis di Pavilion Residence, Kuala Lumpur pada 17 Mei 2018.
Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat berhak tahu bagaimana Najib boleh memiliki wang sebanyak itu.
“Keputusan mahkamah bahawa kerajaan gagal menunjukkan duit sebanyak lebih 100 juta yang terdapat pada Datuk Seri Najib gagal menunjukkan duit ini datangnya daripada 1MDB. Itu saya terima.
“Boleh diragukan bahawa punca duit itu datang daripada pihak-pihak tertentu. Ini perlu ditunjukkan dengan jelas kepada mahkamah. Kalau tidak kita juga ingin tahu duit yang begitu banyak yang diterima,” katanya dalam satu rakaman video di Facebook, hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan kerajaan melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018, didakwa milik Najib dan UMNO.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.
Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut mempertikaikan tindakan Najib tidak menggunakan akaun Umno jika beliau mendakwa wang itu untuk kegunaan parti.
“Kalau untuk parti kenapa wang itu tidak dimasukkan dalam akaun parti. Kenapa dia berada pada Datuk Seri Najib.
“Itu yang soal kita yang ingin tahu,” katanya.-Malaysiapost

