KM Pulau Pinang mohon maaf, cetus kontroversi sumbangan vaksin

0
1

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memohon maaf kepada semua pihak berikutan kontroversi berhubung sumbangan vaksin Covid-19 untuk rakyat negeri ini dari sebuah syarikat swasta.

Kon Yeow berkata, perkara itu dilihat sebagai suatu perkembangan yang amat malang kerana bukan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, isu tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini.

“Matlamat utama ketika ini adalah mendapatkan bekalan vaksin tambahan pada kadar segera berikutan peningkatan mendadak kes bagi memastikan kadar vaksinasi boleh dipercepatkan demi melindungi nyawa serta menyelamatkan ekonomi rakyat negeri ini secara keseluruhan.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kon Yeow berkata, beliau juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung urusan siasatan kelak.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu sebenar di sini adalah perolehan bekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bersidang kelmarin juga sudah berbincang mengenai kontroversi ini dan memutuskan untuk memberi tumpuan terhadap pendekatan terbaik dalam memperoleh bekalan vaksin pada tempoh masa terdekat sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri ini untuk menerima vaksin dengan kadar segera,” katanya.

Menurutnya, MMK memutuskan menggunakan dana kerajaan negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat negeri Pulau Pinang.

Bagi tujuan itu, katanya, beliau juga menghantar surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus oleh kerajaan negeri daripada syarikat pembekal yang diluluskan Kerajaan Persekutuan dalam negara atau secara langsung dari syarikat pengeluar vaksin.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin mendedahkan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada Kerajaan Pulau Pinang adalah palsu.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata perkara itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan siasatan berhubung surat yang diterima Kerajaan Pulau Pinang berhubung sumbangan berkenaan.

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/19/sumbangan-2-juta-dos-vaksin-kepada-pulau-pinang-palsu-kj/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here