Polis siasat Neelofa tak pakai pelitup muka

0
2

POLIS akan menjalankan siasatan terhadap selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung perkara itu.

Katanya, siasatan dilakukan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.

“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketetapan itu dikeluarkan oleh KKM apabila kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam bermula 1 Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

Semalam, tular beberapa keping foto memperlihatkan bayangan hampir separuh wajah Neelofa di sebalik niqab yang tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan.

Terdahulu, Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail semalam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal Mei lalu. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here