Lapor polis jika jemaah ingkar SOP

0
2
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

JAWATANKUASA Pengurusan Kariah Masjid dan Surau di Johor di arah bertindak tegas dengan tidak membenarkan jemaah yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) masuk ke masjid atau surau termasuk menghubungi polis jika perlu.

Arahan itu dikeluarkan dalam kenyataan bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi; dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Menurut kenyataan itu, tindakan tegas diambil berdasarkan pemantauan pihak berkuasa yang mendapati masih terdapat di kalangan jemaah tidak mematuhi SOP ditetapkan seperti tidak memakai pelitup muka, tidak membawa sejadah bersaiz besar, tiada penjarakan fizikal, tidak mengambil suhu badan dan jemaah kurang sihat hadir ke masjid atau surau.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat ditetapkan dengan kapasiti 50 jemaah di kalangan ahli kariah sahaja termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid dan surau Jumaat berkuatkuasa esok hingga 7 Jun ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Surau pula seramai 20 jemaah termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai surau.

“Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan masjid dan surau Jumaat disanitasi selepas solat Jumaat termasuk alat pembesar suara imam dan bilal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, jawatankuasa pengurusan masjid dan surau juga dibenarkan menyediakan ruang solat musafir, namun dengan syarat mesti menyediakan petugas untuk memastikan jemaah yang musafir patuh dengan SOP.

“Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis membudayakan al-Quran, bacaan Surah Yaasin dan tahlil, wirid Khaujakan, zikir, Asmaul Husna, selawat, ratib Al-Atas serta bacaan Surah Al-Mulk dan Al-Khafi dengan syarat kehadiran tidak melebihi 50 jemaah bagi masjid dan surau Jumaat, manakala 20 jemaah bagi surau.

“Kehadiran adalah terhad kepada ahli kariah sahaja, tiada penglibatan jemaah luar atau jemputan orang luar dengan jemaah perlu membawa al-Quran, Surah Yaasin dan kitab lain sendiri serta tidak berkongsi dengan jemaah lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan solat fardu Jumaat, solat fardu dan pengimarahan masjid dan surau berkenaan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here