Hospital terpaksa pilih antara yang hidup dan tiada lagi harapan

0
1
hospital sg buloh covid vaksin

PENILAIAN berat terpaksa dilakukan dalam memilih pesakit kritikal yang dikategorikan tiada harapan dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Kedah berikutan jumlah katil kini semakin terhad.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.

Menurutnya, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga. Dalam sesetengah kes doktor terpaksa pilih yang mana perlu hantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan lagi ke ICU.

“Ini termasuk pesakit bukan kes Covid-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi setengah kes. Bagaimanapun, kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan hospital di Kedah dalam berhadapan peningkatan kes Covid-19 selepas mencatat kes harian tertinggi iaitu 445 kes semalam, selain penggunaan wad ICU dilaporkan sudah mencapai 92 peratus.

Dr Mohd Hayati, meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

“Kita perlu ingat hospital bukan sahaja untuk merawat pesakit Covid-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan dan pembedahan, selepas dibedah mereka perlu dirawat di ICU terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu katil ICU penuh, jadi orang ramai perlu patuh SOP. Jangan bersalaman dan bersembang dekat, saya tahu kita masih dalam suasana Aidilfitri, tetapi perlu berpada-pada,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here