Kerajaan bincang ‘total lockdown’ esok

0
2

KERAJAAN sedang mempertimbangkan langkah drastik termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan, berkata pilihan itu akan dibincangkan lanjut ketika Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang bersama Perdana Menteri dan wakil-wakil kerajaan negeri, esok.

“Itu (total lockdown) antara langkah-langkah yang perlu difikirkan oleh pihak MKN, pilihan yang kita ada selepas kita laksanakan PKP, PKPB, PKPP dan sebagainya. Itulah langkah-langkah yang perlu diambil, sama ada secara keseluruhan atau bersasar.

“Esok ada sidang MKN, ia mungkin akan dibincangkan di sana yang melibatkan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Hari ini, Malaysia terus merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 iaitu 6,806 kes berbanding semalam, 6,075 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbabit turut menyaksikan Selangor konsisten menjadi penyumbang terbesar kes positif iaitu 2,277 kes di mana, semalam hanya merekodkan 2,252 kes.

Ia adalah kes harian tertinggi dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara sekali gus mengatasi rekod semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here