Tiada masalah sidang Parlimen diadakan jika PKP penuh – Mukhriz

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika dikuatkuasakan tidak akan menjadi masalah untuk sidang Parlimen diadakan, kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau yang juga Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), berkata ini kerana Dewan Rakyat mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang jangkitan sesama Ahli Parlimen.

Menurutnya, selain itu boleh dikatakan semua Ahli Parlimen juga sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Tak ada apa-apa masalah sekiranya Parlimen terus bersidang (walaupun PKP penuh dikuatkuasakan).

“Sebagaimana yang kita tahu, saya ingat setakat ini, kalau tidak 99 peratus, 100 peratus daripada ahli parlimen sudah pun menerima vaksin. Macam-macam SOP ketat dilaksanakan di parlimen.

“Kalau pasar raya boleh dibuka, kenapa tidak Dewan Rakyat yang ketat SOP-nya?” katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beliau hadir bersama tujuh yang lain berhubung penyertaan mereka dalam himpunan tunjuk perasaan ‘Buka Puasa Buka Parlimen’ yang diadakan pada 30 April lalu, yang antara lain menuntut pembukaan semula Parlimen.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya apakah pendiriannya berhubung gesaan untuk membuka semula parlimen, sekiranya PKP penuh dilaksanakan kelak.

Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 bermula 12 Mei lalu, namun penguatkuasaannya dilihat lebih longgar berbanding PKP 1.0 termasuk membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi.

Bagaimanapun penularan Covid-19 semakin meningkat sehingga menimbulkan spekulasi kerajaan mungkin melaksanakan PKP penuh seperti tahun lalu dengan penguatkuasaan lebih ketat selepas ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan PKP penuh dijangka dibincangkan esok dalam Sidang Khas MKN di Putrajaya.

Sementara itu, Ordinan Darurat berkuatkuasa sejak 11 Jan lalu dan dijadualkan tamat 1 Ogos depan yang bertujuan membolehkan kerajaan mengambil langkah perlu dalam mengekang penularan Covid-19.

Sepanjang tempoh berkenaan, semua sidang Dewan Rakyat dan DUN digantung, namun darurat dikritik banyak pihak termasuk pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melihatnya bukan langkah wajar dan perlu dalam menagani Covid-19.

Antara yang mengkritiknya adalah, Mukhriz sendiri dengan menyifatkan kerajaan gagal mengekang penularan wabak itu apabila kes jangkitan baru melebihi 6,000 kes hari ini.

“Saya ingat apa yang dibuat (kerajaan) setakat ini memang alasan semata-mata kerana nak mengekalkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here