Ikatan gesa kerajaan ketatkan PKP 3.0

0
1

KERAJAAN perlu memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sama seperti PKP 1.0 supaya pelaksanaannya berkesan untuk menurunkan kes harian Covid-19.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan, berkata rakyat kini makin tertekan dengan pelaksanaan PKP yang berlarutan, tetapi ‘separa masak’ yang menyebabkan kes harian masih tinggi.

Katanya, pada masa sama kerajaan Selangor juga perlu menerima realiti bahawa negeri itu adalah penyumbang terbesar kes harian dan keadaan ini membimbangkan.

“Usah politikkan situasi Covid-19 dan tanggungjawab mereka adalah untuk mententeramkan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021 adalah langkah tepat.

Namun, katanya, pihaknya telah berulang kali menyuarakan keperluan melaksanakan PKP 3.0 apabila peningkatan mendadak kes Covid-19 berlaku di negara ini.

Katanya, pelaksanaan PKP terpilih sebelum ini yang mengikut daerah agak mengelirukan dan membuatkan rakyat hilang arah.

“Justeru, ia menyebabkan orang ramai tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Namun begitu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berjiwa besar untuk mengakui kelemahan PKP 2.0 yang gagal melandaikan kes harian Covid-19, seterusnya memperbaiki SOP PKP 3.0 agar ianya berjaya.

“Ini penting agar rakyat tidak perlu melalui PKP 4.0, PKP 5.0 atau seterusnya. 19 Mei 2021 mencatatkan sejarah apabila merekodkan jumlah kes harian tertinggi sebanyak 6,075 kes, manakala kes kematian terus mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh tiga hari berturut-turut, dengan 46 kes dicatatkan.

“Trend peningkatan kes kematian juga amat membimbangkan dengan jumlah 272 kematian dalam tempoh satu minggu,” katanya.

Dalam pada itu, Ikatan turut mencadangkan kepada Kerajaan PN memberikan moratorium automatik selama tiga hingga enam bulan agar rakyat boleh bernafas.

“Ia dek kerana banyak perniagaan merudum sejak awal bulan puasa, hinggalah jualan persiapan hari raya yang terpaksa dibatalkan mengakibatkan kerugian kepada peniaga-peniaga kecil secara drastik.

“Sekurang-kurangnya, kerajaan perlu memberikan pilihan untuk melaksanakan i-Lestari 2.0 atau i-Sinar 2.0 dalam situasi sekarang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelajar juga sudah memulakan proses pembelajaran dan pengajaran di rumah.

“Justeru, Menteri Kewangan juga perlu bertindak cepat dengan menyalurkan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu bagi membantu pelajar.

“150,000 laptop yang dijanjikan, kemudian ‘dipinjamkan’ masih belum nampak hasilnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan bertindak sebelum terlambat kerana rakyat kian terhimpit dan tersepit dengan keadaan semasa.

“Kami rakyat marhaen masih tidak nampak sinar di hujung jalan,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here