Sultan Johor titah Ahli Parlimen, Adun bincang hal Covid-19

0
2

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor mengadakan perbincangan secara pemesyuaratan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung.

Baginda menitahkan mesyuarat itu diadakan dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Sejak kebelakangan ini, Johor mencatatkan kes positif Covid-19 yang semakin tinggi. Merujuk kepada kes dilaporkan semalam, Johor telah mencatatkan sebanyak 699 kes.

“Pihak pentadbiran kerajaan, semua Ahli Parlimen dan Adun di Johor perlu memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung dan pada masa yang sama, mereka yang terkesan hendaklah dibantu,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini.

“Namun, saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan Adun di Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini.

“Oleh yang demikian, saya menyeru agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan di kalangan semua Ahli Parlimen dan Adun di Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor,” titahnya.

Baginda bertitah, melalui perbincangan itu, semua Ahli Parlimen dan ADun boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here