PENGERUSI Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Dr Dzulkefly Ahmad, mendakwa beberapa portal media salah lapor kenyataannya berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di Selangor, semalam.
Menurutnya, pelaporan mengenai kenyataannya dalam sidang media bersama Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud itu ‘tersasar’ daripada mesej sebenar yang ingin disampaikan.
“Beberapa editorial yang saya hubungi kemudiannya mengakui kesilapan pelaporan berkenaan dan telah bertindak untuk mengemaskini laporan yang telah disiarkan.
“Saya hargai keterbukaan rakan-rakan media menerima pandangan dan teguran yang disampaikan sekali gus mengambil langkah penambahbaikan terhadap berita yang telah tersiar lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, salah lapor itu juga mengakibatkan pihak lain menularkan berita yang salah dan ia adalah tidak wajar serta boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidaktenteraman dalam masyarakat.
Sementara itu, Dr Dzulkefli menegaskan pendirian STFC berkenaan keadaan Covid-19 pandemik di Selangor, jiika Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP ke atas mana-mana kawasan adalah berdasarkan beberapa faktor.
“Penguatkuasaan PKP mestilah berprinsipkan bukti saintifik dan epidemiologi yang telus serta surveilan berkata atau ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag yang pantas bagi masyarakat , hendaklah dilaksanakan bagi tujuan mengekang penularan dengan pantas.
“Pengurusan kes-kes Covid-19 di peringkat masyarakat perlu diperkukuh dan dikemaskan secara digital; bagi mengurangkan beban kerja Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik-klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan juga kakitangan perubatan di lapangan.
“Kerajaan juga perlu mengoptimakan dan mengkhusukan penggunaan katil-katil (dan kakitangan) yang terhad di PKRC MAEPS, Hospital-hospital rujukan dan hybrid, dan terutamanya – sumber ICU yang terhad,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu menambah kakitangan sokongan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Selangor melalui penyertaan perkhidmatan swasta, selain perlu adanya komunikasi risiko dan maklumat yang telus, saintifik, serta tidak berpandukan emosi dan sifat populist.
“Pelan sokongan sosio-ekonomi sepanjang tempoh PKP perlu dilaksanakan serta menyediakan KPI dan matriks keputusan yang jelas, bila dan bagaimana PKP ini boleh ditamatkan,” katanya.
Beliau berkata, STFC akan terus membuat penjelasan dari masa ke masa tentang strategi komplimentari bagi menjayakan PKP yang lebih efektif, sekiranya dikenakan ke atas Selangor oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan pelbagai pendekatan baru. – Malaysiapost

