Darurat perlu disambung

0
2

SEMALAM negara kita dikejutkan dengan angka positif Covid-19 mencecah 6,075 orang.

Paling mengejutkan pengumuman EXCO Selangor dan penasihat Covid-19 Selangor masih dengan keegoan menolak cadangan pakar-pakar akademik dan public health supaya total lockdown diadakan di Selangor untuk mengekang penularan yang semakin tidak terkawal khususnya di Lembah Kelang.

Nasihat saya kepada Selangor, sekarang bukan masa bermain politik.

Di Singapura minggu lalu kes mencecah 50 sahaja dan Kerajaan Singapura melaksanakan lockdown. Di Sabah, rakyat marah kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana mereka terhasut oleh dakyah kononnya langkah PKP dan PKPB tidak berperikemanusiaan.

Akhirnya, dalam tempoh 2 minggu penularan Covid-19 di Sabah dapat diturunkan ke 2 angka. Walaupun Sabah tidak sekaya Selangor, tetapi Kerajaan Sabah masih mampu mengedarkan bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan.

Di Selangor, negeri paling kaya di Malaysia sejak zaman kolonial lagi nampaknya terkebelakang dalam mengatur kebijaksaan pemerintahan mengawal penularan Covid-19. Pada hemat saya, Selangor patut belajar dari Sabah!

Sebab itu dalam politik, apabila kerajaan negeri tidak seiringan dengan Kerajaan Pusat, inilah jadilah, pentadbiran negeri jadi caca merba dan kacau bilau. Mereka tidak dapat membezakan antara politicking dan governance.

Anda boleh berbeza fahaman politik, tetapi apabila berlaku bencana, ketepikannya dan perlu ada kebersamaan dalam isu-isu nasional seperti keselamatan dan kesihatan.

Apabila Darurat telah diisytiharkan untuk mengawal penularan Covid-19, laksanakannya kerana ianya salah satu strategi membendung, mengawal dan memulihkan keadaan. Mereka ini patut masuk semula kursus Kenegaraan.

Tidak ada yang pelik mengenai Darurat. Negara-negara lain seperti Japan, Singapura, Taiwan terpaksa mengisytiharkan darurat atau total lock down apabila jumlah positif Covid-19 meningkat.

Di negeri Selangor dengan kapasiti rakyat pelbagai jenis pekerja asing, penduduknya daripada seluruh negara yang bermobilasi setiap hari, kilang dan mall di mana-mana, pusat universiti dan sekolah, semua faktor ini menyumbang kepada penularan Covid-19.

Apakah Selangor menunggu angka 5,000 kes baru hendak menyerah kalah? Akhirnya nanti, anda akan menuding jari kepada Kerajan pusat jua.

Nasihat saya, berhenti bermain politik, tunjukkan level kenegaraan yang tinggi dan jadilah pemimpin yang Patriotik.

Kepada rakyat jelata di seluruh negara, petunjuk semalam memberi gambaran, wabak Covid-19 semakin bertambah di seluruh negara.

Di Semenanjung Malaysia, tidak ada lagi warna hijau. Di Sabah turut menunjukkan tanda-tanda angka menaik. Di Kelantan suatu ketika dahulu 2 angka, namun mobilasi keluar masuk rakyat dari luar Kelantan menyukarkan Kelantan untuk menurun dalam masa terdekat.

Di Taiwan semalam, rakyat mereka sudah faham dan tidak memerlukan arahan kerajaan lagi. Apabila kes meningkat, secara automatik mereka menutup kedai dan tidak ada pergerakan di jalan raya.

Mereka mengambil inisiatif sendiri mengikat kaki dan nafsu di rumah. Tidak ada emosi marah dan membenci Kerajaan. Mereka menunjuk patriotik yang tinggi dan menunjukkan tanggungjawab yang mengujakan.

Darurat bermaksud segala aktiviti lain yang kita kira sangat penting seperti perniagaan, rekriasi malah akrtiviti politik terpaksa diberhentikan. Darurat memerlukan pengorbanan rakyat.

Dan bukanlah Darurat itu dilaksanakan setahun dua tahun, tetapi jika rakyat bekerjasama mengamalkan SOP ketat, jumlah kes menurun, vaksinasi mencapai sasaran 30%-50% seperti di Amerika Syarikat, inshaallah Darurat boleh ditamatkan dengan segera. Wahai rakyat Malaysia, mari kita bersatu hati.

Penulis ialah penganalisis politik dan kenegaraan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Zach

(Artikel ini disiar tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here