YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Adun Pahang, Datuk Mohd Hayani Abdul Rahman yang meninggal dunia semalam.
Istana Negara menerusi Facebook rasminya hari ini, menyatakan Seri Paduka Baginda berdua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama para solihin.
Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua juga berharap seluruh keluarga Allahyarham bersabar serta tabah menghadapi pemergian tersebut.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarham sebagai wakil rakyat dan Adun Pahang kepada masyarakat dan negara,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

