Syed Saddiq gesa kerajaan buat saringan Covid-19 besar-besaran

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan melaksanakan ujian saringan besar-besaran Covid-19 seperti yang dilakukan Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata, ujian saringan besar-besaran di setiap negeri perlu dilaksanakan segera memandangkan situasi Covid-19 negara kini berada pada tahap kritikal.

“Kita sekarang berada di tahap yang semakin kritikal. Lebih ramai yang menjadi mangsa jangkitan Covid-19. Kes sudah meningkat ke 6,000 sehari.

“Kita perlu contohi Selangor dalam melakukan mass testing. Selangor membiayai sepenuhnya ujian Covid-19 besar-besaran (mass testing) untuk semua daerah di bawahnya,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Covid-19 kini bukan hanya tersebar melalui kluster tetapi juga melalui kes sebaran sporadik.

“Tambah memburukkan lagi keadaan adalah sebaran melalui ‘asymptomatic patient’. Ini kerana mereka tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi masih boleh melakukan penyebaran virus.

“Isolasi kawasan berdasarkan kluster sudah tidak efektif dan Kerajaan Pusat perlu bertindak lebih agresif dan mencontohi kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Justeru, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berharap Kerajaan Pusat segera memberi bantuan kepada semua kerajaan negeri agar melakukan ujian berkenaan segera.

“Ini harus datang bersama dengan usaha mengubahsuai beberapa dewan awam untuk menjadi pusat kuarantin segera. Bertindak sekarang sebelum terlambat,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Syed Saddiq berkata, beliau setuju 100 peratus dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pelaksanaan total lockdown.

“Lockdown harus dilaksanakan dengan pertimbangan kebajikan ekonomi rakyat. Bantu rakyat hadapi lockdown dan sama-sama lawan Covid-19.

“Buatlah lockdown menyeluruh dengan syarat, moratorium automatik secara menyeluruh,sediakan bantuan gajet kepada pelajar untuk PDPR.

“Selain bantuan kewangan kepada keluarga B40 & M40, SOP PKP beserta KPI setiap kementerian dan agensi serta mass testing secara menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here