Memang patut anak perempuan, menantu saya dikompaun – Mukhriz

0
3

BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahatdir melahirkan rasa kecewa dengan sikap anak perempuan dan menantunya yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengulas tangkapan terhadap anak dan menantunya itu, Mukhriz menegaskan keduanya memang sepatutnya dikenakan denda sebanyak maksimum RM1,000 atas perbuatan mereka melanggar PKPP.

Anak perempuan dan menantu Mukhriz ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pub di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya dah pesan dah kepada kaum keluarga saya, musim PKPP ni, janganlah langgar, kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik. 

“Memanglah saya rasa kecewa kerana pelanggaran tetap berlaku, jadi kita dah beri teguran. Memang patutlah mereka kena kompaun,” katanya kepada media di Felda Besout, Perak seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Tambah Mukhriz, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana mengambil tindakan tegas dan adil terhadap anak perempuannya, menantunya dan 27 individu yang lain.

Beliau turut menyatakan tidak mahu dilabel mencampuri urusan pihak berkuasa semasa melaksanakan tugas.

“Kalau hari tu, dia bagi diskaun, silap-silap saya dan Tun dituduh mencampuri urusan polis, dan dituduh beri keistimewaaan kepada anak dan menantu.

“Dan selain mengurangkan kompaun, kita bersyukur tak dinaikkan kompaun, nanti jadi penganiayaan pula kepada mereka berdua,” katanya.

Mukhriz turut hadir untuk berkempen bagi calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.
yang telah ditetapkan pada 29 Ogos ini. – Malaysiapost