Tiga badan berasingan bagi pelaksanaan pilihan raya – ERC

0
2

JAWATANKUASA Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan agar tiga badan berasingan diwujudkan bagi pelaksanaan pilihan raya.

Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, tiga badan yang diwujudkan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Menurut beliau, faktor utama cadangan tersebut dibuat adalah untuk mengembalikan keyakinan semua pihak kepada badan pelaksana pilihan raya di negara ini.

“Kita mahu kembalikan keyakinan semua, sekarang ini ada pihak yang menyatakan tidak yakin.

“Kita susun semula setelah kita kaji di banyak negara. kita syor tiga badan berasingan tapi ada kaitan satu sama lain,” katanya semasa sidang media di Putrajaya hari ini

Untuk makluman, cadangan tersebut termasuk dalam 49 syor yang dikemukakan ERC kepada kerajaan bagi reformasi sistem pilihan raya.

Ab Rashid berkata, tiga badan yang dicadangkan adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan penggubal dan pelaksanaan dasar, seterusnya badan yang melaksanakan pilihan raya serta Suruhanjaya Persempadanan Pilihan Raya (SPPR).

Mengulas lanjut, beliau juga membuat cadangan agar SPR diberi kuasa untuk mengawal parti politik di negara ini.

Jelasnya, cadangan tersebut dapat dilaksanakan dengan melakukan pemindahan fungsi pendaftaran parti politik yang kini di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)

“Bagilah sedikit ‘gigi’ supaya SPR dapat kawal parti politik.

“Kita cadangkan juga dalam laporan ini bahawa perbelanjaan pilihan raya mesti diaudit. Ini adalah salah satu fungsi SPR kelak,” katanya lagi.

Untuk rekod, ERC adalah sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi tujuan menambahbaik sistem pilihan raya.

Pada 13 Januari lepas, ERC telah menyerahkan laporan interimnya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Laporan itu berdasarkan kepada 21 sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan selama 16 bulan sejak ERC ditubuhkan pada Ogos 2018. – Malaysiapost