MIC ikut Umno, tak jadi masuk PN

0
2

MIC dilaporkan membuat pusingan U apabila menarik balik keputusan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ia berdasarkan surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), ditandatangani Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan Muniyandy yang tular di media sosial hari ini.

Berdasarkan surat bertarikh 24 Ogos 2020, MIC memaklumkan ia membuat keputusan itu susulan Umno tidak berhasrat untuk menyertai PN pada 29 Julai lalu.

“Maka, keputusan Majlis Tertinggi MIC pada 10 Julai 2020 tidak boleh dlgunapakai dalam penyertaan keanggotaan Perikatan Nasional.
“Berikutan itu, sehingga satu keputusan baru dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC, keanggotaan pemimpin MIC sebagai Anggota Jawatankuasa Penaja Perikatan Nasional adalah tidak boleh digunapakai,” menurut surat terbabit.

Sementara itu, sumber Barisan Nasional (BN) ketika dihubungi Malaysia Post mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran memaklumkan parti itu tidak berniat mengkhianati rakan-rakan parti komponen dalam BN, khususnya Umno apabila mendaftar dengan PN.

Sebaliknya beliau berkata apa yang berlaku ialah wujud kekeliruan sehingga mendorong MIC membuat keputusan itu.

Ahad lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MIC telah mendaftar dengan PN bersama-sama Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata Umno tidak akan menyertai PN, sebaliknya akan mengukuhkan Muafakat Nasional bersama PAS. – Malaysiapost