UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid menjelaskan parti pembangkang lain yang bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan dijangka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
“Semua calon Umno dan PBRS, kami akan menggunakan lambang BN dalam PRN itu. Ertinya parti lain kami tidak rasakan mereka akan guna lambang BN.
“Ini kerana PN buat pertama kalinya akan menggunakan lambangnya sendiri pada PRN berkenaan dan kita hormati keputusan itu,” katanya kepada media di Slim, Perak, hari ini.
Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai lambang yang akan digunakan calon parti masing-masing pada pilihan raya itu nanti.
Parti lain yang dimaksudkan ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Setakat ini hanya BN sudah memutuskan untuk kekal menggunakan ‘dacing’, manakala parti lain dalam gabungan pembangkang itu belum membuat sebarang pengumuman.
Difahamkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka membuat pengumuman mengenai penggunaan lambang PN ketika lawatannya ke Sabah pada Sabtu dan Ahad ini.
Bagaimanapun, sebelum ini PBS sudah menyatakan bahawa parti itu akan kembali menggunakan lambang ‘Jabat Tangan’ yang menjadi identiti parti itu. – Malaysiapost

