Nurul Huda Abhar
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengecam pencerobohan yang dilakukan pihak Israel dan menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin.
Bekas Perdana Menteri itu menyatakan pendirian tersebut menerusi hantaran Facebooknya, sebentar tadi.
Dr Mahathir memaklumkan beliau berkesempatan berbual dan bertukar pandangan berkenaan situasi genting di Palestin melalui panggilan telefon bersama Imran, malam semalam.
“Saya telah berbual melalui telefon dengan Perdana Menteri Imran Khan Pakistan semalam.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Mubarak kepadanya dan rakyat Pakistan.
“Kami bertukar pandangan mengenai keadaan di Palestin dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Kami mengecam pencerobohan Israel dan menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran itu.
Hari ini, media tempatan melaporkan setakat ini hampir 200 terkorban dan lebih 1,000 penduduk Palestin cedera dalam serangan udara Israel yang dilancarkan sejak minggu lalu.
Malah, awal pagi tadi penduduk Palestin menghadapi serangan udara yang paling besar dilakukan oleh tentera Israel di beberapa lokasi di bandar Gaza.
Serangan terbaharu itu dilancarkan beberapa jam selepas Perdana Menteri Istael, Benjamin Netanyahu berkata, serangan ke atas Gaza akan diteruskan dalam skala yang lebih besar. – Malaysiapost
Foto Kredit: Twitter/@ImranKhanPTI & Twitter/@chedetofficial

