SAMBUTAN Aidilfitri tidak akan lengkap jika tiada sesi bergambar beramai-ramai bersama keluarga dan sanak saudara meraikan lebaran yang tiba saban tahun.
Namun begitu, Syawal kali ini sedikit berbeza kerana aktiviti ziarah menziarahi tidak dibenarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan.
Beberapa perkongsian selebriti tanah air di laman Instagram mengundang persoalan di kalangan netizen, yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana bergambar beramai-ramai dan dikatakan terdapat sesi beraya.
Antara yang menjadi sebutan adalah pelakon Rozita Che Wan apabila memuat naik foto bergambar bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain.
“Anak menantu dan cucu..” tulisnya di bahagian kapsyen.
Menyemak di ruangan komen, netizen tampil bertanya adakah kesemua individu di dalam gambar tersebut sememangnya tinggal serumah dengan pelakon ‘Kiah Pekasam’ itu.
Sementara itu, perkongsian pelakon Norman Hakim di Instagram juga mencetuskan tanda tanya, berikutan keberadaan Abby Abadi dan suami di dalam gambar yang dimuatnaik pada 1 Syawal lalu.
Menerusi gambar itu, netizen mempersoalkan adakah kesemua 13 individu tersebut tinggal satu bumbung bersama Norman.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan perlaksanaan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

