PADAH menciap status berita palsu mengenai kompaun raya, seorang pemilik akaun Twitter ‘No War But Class War’ dipanggil polis semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata individu berusia 42 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan mengenai ciapan yang kononya berlaku di Nilai Impian.
Beliau berkata, turut dirampas adalah gajet milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status di media sosialnya pada 13 Mei lalu.
“Keterangan suspek telah diambil dan siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (no.2) 2021 kerana menyebarkan berita tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Fazley berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.
Katanya, suspek yang merupakan seorang pengurus syarikat penerbitan buku di Bandar Baru Bangi dilepaskan dengan ikat jamin polis.
Khamis lalu, tular gambar di Twitter yang memaparkan pemilik akaun ‘No War But Class War’ menaik status ‘Area Rumah Aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K.
Polis kemudiannya menafikan penularan gambar yang tular di media sosial itu berhubung pelaksanaan operasi pihak polis yang mengenakan kompaun sebanyak RM30,000 kepada orang awam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.
Sebaliknya, gambar tersebut sebaliknya merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama di kawasan perumahan di Nilai Impian. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

