PENGISYTIHARAN secara rasmi Israel sebagai negara apartheid perlu dilakukan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata ia berdasarkan kebiadaban Israel dalam operasi pembantaian serta keganasan yang berterusan oleh rejim Zionis, kecaman dan kutukan dunia semata-mata sangat tidak memadai.
“Sebelum ini, Malaysia sudah mengisytihar secara tegas dan terang kepada dunia bahawa kita tidak mengiktiraf negara haram Israel di dalam pasport kita.
“Kini, kita mesti mengambil langkah lebih tegas dan radikal dengan mengisytihar bahawa Israel adalah negara apartheid secara rasmi. Ia tidak boleh bersifat kecaman secara bermusim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, dunia perlu melihat operasi menyerang komuniti Arab, pembunuhan beramai-ramai, rampasan harta dan kediaman serta pembersihan etnik berskala besar oleh Zionis sebagai apartheid sistematik serta jenayah perang dan bukannya mempertahankan diri.
Katanya, dengan mengakui Israel sebagai rejim apartheid, ia akan mengubah kedudukan rejim ini dalam forum-forum dunia dan memberi kesan lebih serius seperti pemutusan hubungan diplomatik dan larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik dan lain-lain.
“Perkara ini akan memberi tamparan serta tekanan yang jelas.
“Justeru, saya dan seluruh rakyat Malaysia sangat berharap agar kerajaan Malaysia akan mengambil langkah yang lebih jelas, tegas dan radikal dalam isu ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata dasar ‘two-state solution’ atau penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin dan Israel perlu disemak semula.
Beliau berkata, ia selari dengan aspirasi rakyat Palestin dan kedudukan semasa di Malaysia.
Jelasnya, meskipun sebelum ini ‘two-state solution’ dilaksanakan bagi menyelesaikan konflik tersebut namun tidak membawa apa-apa makna selepas rejim Zionis tetap melakukan keganasan terhadap Palestin.
Justeru, katanya, Malaysia perlu melihat semula sama ada penyelesaian melalui ‘two-state solution’ itu berkesan atau sebaliknya kerana kebanyakan pihak dalam kerajaan menolaknya.
“Hari ini dan ketika ini, keadaan telah banyak berubah. Walaupun sebelum ini ada ketetapan ‘two-state solution’, semakin banyak wilayah Palestin diduduki secara haram dan pengusiran penduduk Arab terus menjadi dasar rasmi rejim Yahudi.
“Yang demikian mewajarkan penilaian semula dasar Malaysia berkaitan ‘two-state solution’.
“Apalagi bila parti-parti yang mendukung kerajaan sedia ada adalah mereka yang mempunyai pendirian menentang ‘two-state solution’,” katanya. – Malaysiapost

