Insiden Parit Raja: 13 individu bebas dengan jaminan polis

0
1

SERAMAI 13 individu yang ditahan sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam tunjuk perasaan di Parit Raja, Batu Pahat, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata mereka dibebaskan kira-kira jam 11.30 pagi tadi. 

Bagaimanapun, katanya, tujuh lagi individu masih ditahan sehingga esok bagi membantu siasatan. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan (1957). 

“Mereka juga bakal berdepan siasatan terhadap kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan ) (Pindaan) 2021 dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Terdahulu, kesemua lelaki berusia 16 hingga 28 tahun ditahan susulan maklumat orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis “Kerajaan Gagal” di sebuah jejantas di kawasan itu pada 13 Mei lalu. 

Selain itu, terdapat video yang tular di media sosial memaparkan perhimpunan, nyalaan suar dan menaikkan kain rentang tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here