‘Tahun ini beraya dengan baju Malaysia’

0
2

“SALAM perantauan dari jauh, maaf zahir batin,” demikian kata Allahyarham Haziq Kamaruddin dalam satu temubual bersama Astro Arena sehari sebelum beliau meninggal dunia pada 13 Mei lalu.

Pemanah negara itu meninggal dunia pada usia 27 tahun kerana komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan artarosklerosis (coronary artery atherosclerosis) pada pagi 1 Syawal.

Menerusi temubual yang disiarkan Astro Arena pada Rabu lalu, Allahyarham memberitahu dia tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di Johor dan terpaksa menyambutnya di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil akibat Covid-19.

“Esok call famili sajalah.. nak pakai baju raya, baju raya pun tak ada, ada di rumah, nak keluar pun tak boleh.. jadi berayalah dengan baju Malaysia.

“Dapat berehat tu kita manfaatkanlah secukupnya sebab nanti nak kerah lagi untuk latihan.

“Kepada ibu bapa saya dan sanak saudara, sekali lagi saya tak dapat balik pada tahun ini akibat Covid-19,” katanya.

Allahyarham turut memaklumkan sebelum ini dia tak dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung kerana menyertai pertandingan.

Allahyarham Haziq yang juga pemanah senior dan Olimpian negara, dilaporkan meninggal dunia awal pagi Khamis lalu.

Haziq yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga, pernah mewakili negara dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu London 2012 dan Rio 2016.

Semalam Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Zahari Noor berkata tiada bukti menunjukkan kematian Haziq berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19.

Katanya, keputusan itu diperoleh hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kajang kelmarin.

Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here