PEMANAH senior yang juga Olimpian negara, Haziq Kamaruddin, 27, meninggal dunia awal pagi ini.
Perkara itu disahkan rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan menerusi Facebook, lapor Astro Awani.
Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang.
Haziq yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga, pernah mewakili negara dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu London 2012 dan Rio 2016.
Allahyarham juga banyak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Malaysia.
Pada 2012, beliau bersama Pandelela Rinong dinobat Olahragawan dan Olahragawati Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Punca kematian Allahyarham belum dapat dipastikan. – Malaysiapost

