DARURAT wajib dilaksanakan kerajaan yang memerintah bagi menjaga nyawa rakyat dan perjalanan kehidupan mereka ketika musim yang sangat mencabar ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tujuan pelaksanaannya bagi mengekang wabak yang mengancam masyarakat, keselamatan nyawa manusia, kehidupan, keluarga dan kegiatan harian dalam semua urusan.
Beliau berkata, hari ini sudah ada negara yang menghadapi penularan wabak secara tidak terkawal, sehingga mengalami situasi kekurangan peralatan dan anggota barisan hadapan.
Katanya, jumlah angka kes jangkitan juga mencatatkan peningkatan dan sangat memerlukan kerahan petugas yang ramai.
“Maka kerajaan mengambil langkah yang pantas, bermula daripada persediaan peralatan dan anggota yang mencukupi, termasuklah persediaan anggota sokongan yang perlu ditambah dan dilatih.
“Peruntukan kewangan darurat juga wajib disediakan secukup-cukupnya, khususnya bagi menampung kos perbelanjaan untuk kegunaan barisan hadapan, anggota perubatan, keselamatan, keamanan dan segala agensi sokongan yang lain.
“Perlindungan melalui undang-undang yang tegas terhadap pengacau tugas barisan hadapan pada masa darurat ini hendaklah digubal,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini.
Abdul Hadi menambah, pada masa sama, tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pengacau yang boleh melemahkan semangat barisan hadapan.
Ini kerana katanya, pasukan barisan hadapan ialah golongan paling banyak mengorbankan diri, tenaga, masa dan meninggalkan keluarga, serta paling terdedah bahaya.
“Namun, mereka yang bertindak menjadi makhluk perosak, hanyalah mencari kesalahan untuk memprovokasi golongan bodoh dan lemah akal yang berkeliaran dalam masyarakat.
“Pengacau memainkan peranan melalui langkah yang sengaja diatur atau tersendiri, melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial yang bersifat makhluk perosak dan pengacau.
“Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata dalam tempoh darurat hari ini, semua pihak hendaklah melupakan perbezaan agama, bangsa, fahaman politik dan segala kepentingan termasuk kepentingan harta perniagaan dan diri setiap individu.
“Malah, kita wajib tolong-menolong bagi menyelamatkan semua nyawa dalam keadaan darurat yang dihadapi sekarang.
“Semua pihak wajib memberikan sumbangan harta dan tenaga masing-masing, bahkan boleh dikerahkan untuk memberikan sumbangan secara paksa yang dilakukan dengan sistematik dan terkawal,” katanya. – Malaysiapost

