
SOLAT Aidilfitri di seluruh Perlis kekal di tanah lapang di pekarangan masjid, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, bilangan jemaah solat sunat Aidilfitri yang dibenarkan adalah mengikut kapasiti tanah lapang berkenaan yang bermula jam 8 pagi.
Bagaimanapun baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, jika cuaca tidak bersesuaian seperti hujan lebat, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid mengikut kapasiti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mulai jam 8.30 pagi.
“Jemaah yang tidak terpilih menyertai solat berkenaan perlu bersurai dan pulang untuk menunaikan solat Aidilfitri di rumah masing-masing bersama ahli keluarga, selaras ketetapan dan risalah khutbah dikeluarkan Jabatan Mufti negeri.
“Tempoh pelaksanaan solat Aidilfitri dan khutbah adalah diringkaskan bagi mengurangkan risiko penularan.
“Selaras ketetapan syarak, sebahagian jemaah boleh terus pulang ke rumah selepas menunaikan solat Aidilfitri tanpa perlu mendengar khutbah.
“Pelaksanaan solat Aidilfitri di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama kekal tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak berkaitan,” titah tuanku menerusi kenyataan hari ini.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, semua jemaah hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan ditetapkan.
Antaranya memakai pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke tempat solat, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman serta mengimbas kod QR MySejahtera atau mendaftar pada buku.
“Warganegara dan bukan warganegara lelaki dan perempuan dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidilfitri kecuali mereka yang berstatus pesakit bawah siasatan (PUI) dan yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
“Pengurusan masjid berhak membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP,” titah baginda.
Baginda bertitah, bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat, jumlah jemaah adalah diselaraskan mengikut kapasiti masjid.
Tuanku Syed Faizuddin juga memaklumkan setelah menilai semula suasana dan keadaan semasa, aktiviti ziarah kubur yang sebelum ini diizinkan, tidak lagi dibenarkan.
Titah baginda, jamuan Aidilfitri pula kekal dibenarkan dilaksanakan di tempat solat dengan cara mengedar makanan yang siap dibungkus tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna untuk dibawa pulang.
“Solat jenazah dan pengurusannya boleh dilaksanakan di masjid-masjid dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Akad nikah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan pematuhan SOP, bukan di masjid, surau atau dewan orang ramai,” titah baginda. – Malaysiapost
