PEMUDA Amanah Negeri Perak mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera zionis ke atas penduduk Palestin dan para jemaah yang sedang beribadat di Masjid Al Aqsa.
Pengarah Komunikasinya, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata serangan tersebut disambung dengan serangan baharu yang mengorbankan puluhan orang awam termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.
“Serangan kejam itu ternyata mencabar kesabaran umat Islam seluruhnya apatah lagi di saat umat Islam bakal menyambut Aidilfitri.
“Pemuda Amanah Negeri Perak menyeru kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab agar tidak lagi berlembut kepada puak zionis dan segera mengadakan bantahan keras kepada tindakan kejam mereka ini.
“Sebarang sekatan ekonomi yang difikirkan wajar perlu dikenakan kepada Israel agar mereka segera kembali ke meja rundingan dan menghentikan serangan kejam ke atas bumi Gaza ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Ikhmal berkata, Pemuda Amanah Perak sangat bersedih terhadap apa yang berlaku dan hanya doa dapat dipanjatkan agar keamanan dapat segera dipulihkan di bumi Gaza. – Malaysiapost

