SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan.
Mohamed Badruldin Mohamed, 36, didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 1, Taman Putra Damai, Jalan PJU1A/42 di Petaling Jaya.
dibawa ke mahkamah pada jam 10.15 pagi dengan tangan bergari dikawal ketat dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamed Badruldin didapati membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati, jika sabit kesalahan, lapor Malaysia Gazette.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaannya.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan yang didakwa dilakukan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.
Mohamed Badruldin dituduh mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Alison Chan May Kam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua pertuduhan. – Malaysiapost

