Najib: ‘Mak Cik Kiah’ pun berpeluh hadapi PKP 3.0

0
1

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) tidak memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Najib berkata ekonomi rakyat khususnya peniaga kecil, tetap terkesan degan pelaksanaan PKP3.0 meskipun sektor ekonomi masih dibenar beroperasi.

Jelasnya, meskipun PKP 3.0 tidak memberi kesan terhadap ekonomi peniaga-peniaga besar, tetapi ia memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

“Maaf, saya tak setuju bahawa PKP 3.0 tak beri impak kepada ekonomi. Ekonomi ini ada dua jenis. Jangan dipukul rata. Ekonomi eksport/pembuatan dan ekonomi Rakyat tempatan.

“Manakala ekonomi rakyat tempatan seperti ‘Mak Cik Kiah’ sudah tentu terjejas dan sedang berpeluh menghadapi dengan PKP 3.0 hanya dua bulan selepas PKP 2.0 berakhir,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Tambah Najib jika kerajaan ingin tahu sama ada sektor ekonomi terkesan ataupun tidak mereka boleh bertanyakan pengusaha bas sekolah, bas ekspress mahupun peniaga kecil lain.

“Cuba tanya pengusaha bas sekolah dan pengusaha bas ekspress yang tidak dapat beroperasi. Tanya pemilik gerai tepi jalan serta restoran yang penjualannya terjejas akibat ‘no dine-in’ masa PKP.

“Tanya pada sesiapa yang terlibat dalam sektor pelancongan dan hiburan yang langsung tidak dibenar beroperasi berbulan-bulan lamanya.Tanya peniaga-peniaga kecil bazar Ramadan, bazar Aidilfitri atau pasar malam,” kata Najib lagi.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mengenai pelaksanaan PKP 3.0 berkuat kuasa dari 12 Mei hingga hingga 7 Jun.

Meskipun PKP namun, semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun terdapat sedikit perubahan apabila hanya tiga individu dibenarkan berada dalam satu kenderaan termasuk pemandu bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Dalam pada itu Najib mengakui peniaga-peniaga besar tidak terkesan dengan pelaksanaan PKP3.0 kerana sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi.

Ditambah pula dengan perkembangan luar biasa ekonomi Amerika Syarikat dan China ketika ini.

Sementara itu Najib berkata, bantuan adalah masih amat diperlukan sebab pemulihan ekonomi sekarang dalam bentuk “K” dan tak sama rata.

“Yang kaya dan pemilik kilang asing dilindung tapi Rakyat biasa pula yang disuruh berkorban memanjang dan disuruh terus menghadapi jumlah kes Covid tinggi selama 8 bulan sejak gelombang ketiga bermula pada bulan Oktober lalu.

“Bantulah mereka yang terjejas. Makcik Kiah tengah tunggu perutusan khas.

“Jangan beri alasan bahawa PKP 3.0 tidak beri impak besar pada ekonomi,” kata Najib lagi.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here