Tiada ‘double standard’ untuk anak VIP – PDRM

0
3

Nurul Huda Abhar

POLIS Diraja Malaysia menegaskan tidak akan mengamalkan ‘double standard’ berhubung dengan penangkapan anak orang kenamaan (VIP) di sebuah pub yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk anak VIP yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

“Pada 22 Ogos 2020, jam lebih kurang 1.20 pagi, pihak Polis telah menjalankan serbuan di sebuah pub yang terletak di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan, pihak Polis telah menahan seorang lelaki India berumur 37 tahun dipercayai merupakan
pengurus premis, seorang lelaki Bangladesh dan tiga wanita Filipina yang disyaki merupakan pekerja di premis berkenaan,” katanya.

Menurut Mazlan, siasatan lanjut mendapati premis tersebut dibuka tanpa lesen perniagaan yang sah di sisi undang-undang.

Selain itu, pihaknya turut menahan 20 lelaki dan 9 wanita tempatan yang dipercayai pengunjung premis dan telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh PKPP.

“Keempat-empat suspek warga asing yang berumur dalam lingkungan 33 hingga 52 tahun ditahan reman selama 14 hari bermula 22 Ogos 2020 sehingga 4 September 2020 bagi siasatan lanjut.

”Semua warga tempatan berumur dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang,’ katanya lagi.

Difahamkan, seorang daripada wanita tempatan yang ditahan dalam serbuan tersebut adalah anak perempuan kepada seorang bekas Menteri Besar.

Wanita berkenaan dikatakan baru mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.

Hari ini tular di media sosial berhubung kenyataan bahawa wanita berkenaan ditahan polis dalam keadaan mabuk namun terlepas daripada dakwaan melanggar arahan PKPP. – Malaysiapost