Pendedahan Zafrul satu penipuan, kata Guan Eng

0
2

Muhammad Afiq

SELEPAS Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan senarai 101 projek rundingan terus di bawah Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng mendakwa ia sebagai satu penipuan besar oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu tulisan di Twitternya malam ini, bekas Menteri Kewangan PH itu mendakwa akan membongkarkan “taktik jahat” itu di Parlimen esok.

“Satu penipuan besar oleh Menteri Kewangan PN.Taktik jahat PN akan dibongkarkan dlm sidang akhbar di Parlimen esok pada (jam) 11 pagi.

“Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” ciap Guan Eng yang juga Setiausa Agung DAP.

Terdahulu, Kamenterian Kewangan mengeluarkan senarai penuh 101 projek yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion ketika pentadbiran kerajaan PH

Tengku Zafrul berkata senarai itu dikeluarkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran kerajaan PN.

Berdasarkan lampiran yang dikeluarkan, Kementerian Pengangkutan menawarkan nilai perolehan tertinggi iaitu RM4.47 bilion membabitkan empat projek.

Ia diikuti Kementerian Pertahanan yang membabitkan enam projek bernilai RM900 juta serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendapat lapan projek dengan nilai RM517 juta.

Secara keseluruhannya sebanyak 20 kementerian menerima projek secara rundingan terus di bawah kerajaan PH.- Malaysiapost