Ia projek zaman BN, kalau batal kerajaan kena bayar pampasan – Loke

0
2

BEKAS Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengakui Kementerian Pengangkutan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan empat projek secara rundingan terus.

Katanya, seperti didedahkan Kementerian Kewangan semalam, projek bernilai paling tinggi diluluskan secara rundingan terus adalah Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa 2 iaitu RM4,475,250,000.

Loke menjelaskan ia adalah projek yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu secara rundingan terus dan surat setuju terima telah dikeluarkan pada 4 April 2018, sehari sebelum pembubaran Parlimen kepada Syarikat Dhaya Maju LTAT dengan nilai RM5.26 billion.

Selepas PH mengambil alih, katanya, Kabinet memutuskan pada 19 September 2018 untuk membatalkan kontrak tersebut.

“Selepas surat pembatalan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, Dhaya Maju LTAT berkali-kali merayu kepada kerajaan termasuk kepada Perdana Menteri untuk menyambung semula kontrak tersebut.

“Maka, beberapa siri rundingan diadakan untuk mengurangkan kos projek tersebut,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Loke berkata syarikat tersebut akhirnya bersetuju untuk mengurangkan kos projek sebanyak 15 peratus daripada kos asal.

Berikutan itu, beliau mewakili Kementerian Pengangkutan membentangkan perkara itu ke Kabinet pada 5 Julai 2019 melalui Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan mencadangkan beberapa opsyen untuk diputuskan oleh Kabinet.

“Jemaah Menteri memutuskan untuk meneruskan projek ini dengan Syarikat Dhaya Maju LTAT membabitkan kos lebih rendah iaitu RM4.475 billion bersama beberapa pertimbangan,” katanya.

Pertimbangan tersebut ialah:

a) Surat Setuju Terima telah dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu. Sekiranya kerajaan tidak meneruskan kontrak ini, kerajaan terdedah risiko tindakan undang-undang sivil oleh pihak syarikat dan kemungkinan perlu membayar pampasan.

b) Penjimatan sebanyak 15 peratus adalah hampir RM800 juta tanpa menjejaskan komponen kritikal dalam projek tersebut.

c) Syarikat ini merupakan usahasama antara Dhaya Maju dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Ini bermaksud pesara tentera ada kepentingan dalam projek ini.

d) Syarikat ini sedang melaksanakan projek naiktaraf landasan berkembar Lembah Klang fasa 1. Mesin dan peralatan telah dilabur untuk menyiapkan keseluruhan projek ini.

Sehubungan itu, Loke berkata terpulang kepada orang ramai untuk membuat kesimpulan.

Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai penuh 101 projek yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion ketika pentadbiran kerajaan PH. – Malaysiapost