GARA-GARA tidak berpuas hati diejek, seorang pelajar sanggup membelasah rakan sekolahnya sehingga cedera.
Mangsa, pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dikatakan pernah mengejek suspek, ditemui dalam keadaan lemah akibat teruk dibelasah di kawasan sekolah di Bukit Beruntung.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata guru sekolah memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa pada jam 6.26 petang, 4 Mei lalu.
“Sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring dengan kecederaan di beberapa bahagian badan.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke zon kuning untuk rawatan lanjut,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada jam 3.15 petang apabila mangsa dibelasah dua pelajar perempuan sebelum ditemui.
Katanya, punca pergaduhan dikatakan kerana mangsa mengejek suspek yang kemudian tidak berpuas hati.
“Polis sudah mengenal pasti pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

