Kritik Tun M: Wan Saiful ditegur pemimpin parti sendiri

0
2

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menasihati Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan agar berhati-hati membuat kenyataan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mohd Redzuan, Wan Saiful bukan barisan pengasas penubuhan Bersatu, malah keahliannya juga diluluskan oleh Dr Mahathir selaku pengerusi parti itu sebelum ini.

“Beliau seharusnya mencerminkan diri sebelum mengeluarkan kenyataan yang bakal mengundang kemarahan pengasas-pengasas awal di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata sebagai salah seorang pengasas Bersatu, beliau secara peribadi menasihati Wan Saiful supaya lebih memahami perjuangan parti.

“Berwaspadalah membuat kenyataan yang tidak melambangkan pejuang parti. Bercerai roboh bersatu teguh,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Wan Saiful semalam, yang menyangkal tuduhan Dr Mahathir wujudnya pemimpin Bersatu yang sedia meninggalkan parti itu dan menyertai Pejuang  jika diberi habuan lumayan.

Wan Saiful turut meminta Dr Mahathir berhenti untuk mendapat perhatian politik dengan tidak menjadi jurucakap soal dalaman Bersatu.

Beliau berkata, Pejuang boleh memperjuangkan agenda unik dan “tak payahlah asyik bercerita mengenai rumah lama sehingga nampak seolah-olah belum dapat ‘move on’ lagi”.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, sebagai Ketua Penerangan, Wan Saiful sepatutnya bersikap positif dan perlu berusaha menambah baik serta membina semula parti.

“Sebaiknya, mereka yang telah disingkir daripada Bersatu tiada kesalahan jika boleh dibawa semula kerana sebagai pengamal politik yang matang, perbezaan fahaman adalah perkara biasa,”katanya.

Malah katanya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak konflik dalaman parti, tidak pernah memberi komen negatif kepada bekas pemimpin Bersatu, sebaliknya fokus membina parti dan mentadbir negara mendepani wabak Covid-19. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here