Langgar SOP: Najib dah bayar kompaun

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan beliau sudah menjelaskan kompaun RM3,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau dikompaun susulan kegagalan membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP ketika makan di sebuah restoran nasi ayam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Mac lalu.

Beliau menjelaskan kompaun berkenaan di sebuah pejabat kesihatan daerah di ibu negara, hari ini.

“Bayar kompaun. Saya silap itu hari tak scan (imbas) suhu.

“Saya mengaku sendiri. Saya terima denda. Tak mahu ada double standards. Mereka itu saya tak tahulah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, Najib dikompaun RM3,000 atas dua kes pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Najib dikompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan semasa memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng.

Sementara kesalahan kedua gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.

Pengurus restoran pula dikompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here