PENGURUSAN restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng, telah membayar kompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP), Mac lalu.
Pengurus restoran tersebut, Yeok Wei Hao dikompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP.
Ketua Penerangan Umno Subang, Razman Rahim menerusi perkongsian di Facebooknya berkata bayaran kompaun tersebut dijelaskan hasil sumbangan yang diraih oleh sekumpulan Pemuda UMNO.
Katanya, ia dibuat atas rasa tanggungjawab kerana berasa bersalah atas ada kemungkinan telah mengegaskan pergerakan Najib ketika itu, hingga menjadi faktor kelalaian ke atas SOP.
“Saudara Yeok Wei juga dikompaun dengan pantas atas kesalahan pertama yang tidak disengajakan kerana bilangan orang ramai berkumpul di restoran untuk berjumpa Najib, menyebabkan Yeok Wei dan rakan sekerjanya hampir tidak menang tangan kerana terlalu sibuk melayan pelanggan hari itu.
“Dalam situasi ini Datuk Seri Najib dan rakan-rakan yang hadir sama pada hari itu telah bersetuju meringankan beban ditanggung bersama pengusaha kedai dan beliau.
“Perkongsian bayaran kompaun sebanyak 50% telah ditawarkan dan disambut baik oleh pengusaha,” katanya.
Razman berkata Yeok Wei dan keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua yang bermurah hati membantunya.
Baru-baru ini, Najib dikompaun RM3,000 atas dua kes pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Najib dikompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan semasa memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng.
Sementara kesalahan kedua gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.
Pengurus restoran pula dikompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP. – Malaysiapost

