PKP 3.0 cegah varian bahaya – Noor Hisham

0
2

LANGKAH  Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 adalah tepat bagi membendung penularan Covid-19 yang telah tersebar melalui sporadik dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan melalui sporadik amat membimbangkan kerana ia menyebabkan penyebaran Covid-19 terlalu cepat dan boleh menyebabkan jumlah kematian meningkat.

“80 peratus jangkitan sekarang ini bukan di dalam kluster, tetapi ialah sporadik. Maksudnya sudah ada dalam komuniti dan ini yang kita bimbangkan kes mungkin akan meningkat.

“92 peratus jangkitan adalah di kalangan warganegara dan yang amat penting ialah kebelakangan pertambahan varian-varian Covid-19.

“Kebimbangan kita, varian ini semakin merebak dan telah merebak ke beberapa negeri.

“Setakat ini 62 varian Afrika Selatan, varian UK lapan, dan dua varian India didapati di negara kita,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Menurutnya, perlaksanaan PKP ini juga dapat meredakan penularan Covid-19 yang semakin melonjak seterusnya dibimbangi menyebabkan hospital gagal menampung pesakit.

“Kapasiti di hospital semakin berkurangan, kita bimbang kalau kes semakin meningkat melonjak lagi mungkin kita tak ada katil untuk kes-kes icu dan tak cukup icu untuk merawat kes yang memerlukan bantuan penafasan,” katanya.

Katanya, PKP 2.0 yang dilaksana sebelum ini telah berjaya menyekat penularan jangkitan Covid-19 yang lebih besar, namun masih belum mampu meredakannya kepada tiga atau dua angka kerana beberapa sektor terpaksa dibenarkan.

“Dengan perlaksanaan PKP 3.0 kita harap dapat mengawal jangkitan di seluruh negeri dan mengelakkan jangkitan di kalangan rakyat Malaysia.

“Apa yang penting PKP 2.0 kita melaksanakan aktiviti pencegahan, sekiranya kita tak laksana dulu, nescaya kes akan meningkat kepada 5,000 , 10,000 dan dijangka mencatat 20,000 kes pada minggu pertama bulan Mac. 

“Tapi itu tak terjadi kerana kita berjaya mencegah. Tapi kita tidak berjaya menurunkan kepada dua angka atau tiga angka ini adalah kerana kita membuka sektor sosial, pendidikan, sukan dan sebagainya pada pertengahan Mac,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here