Polis rekod keterangan Mohd Khairuddin di Parlimen malam ini

0
3

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah merekod keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Parlimen berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib setelah pulang dari luar negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan Mohd Khairuddin akan direkodkan malam ini.

Namun begitu, Mior tidak mendedahkan waktu keterangan terbabit akan direkodkan.

“Proses merekod keterangan menteri (Mohd Khairuddin) dilakukan di Parlimen malam ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat dakwa Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan isu terbabit sudah diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP)

Mohd Khairuddin kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka serta memulangkan semua gajinya sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos. – Malaysia Post