RUU hukuman lebih berat bagi pemandu mabuk diluluskan hari ini

0
2

[Parlimen] DEWAN Rakyat meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk menguatkuasakan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan mabuk, yang menyebabkan kecederaan atau kematian.

RUU tersebut diluluskan atas undian suara dan mendapat sokongan dari pihak kerajaan dan pembangkang.

Akta ini meningkatkan hukuman penjara dan denda di beberapa bahagian, serta pesalah yang melakukan kesalahan berulang menghadapi hukuman yang lebih keras, seperti dilaporkan Malaysia Kini.

Bagi kemalangan yang menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya, Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan itu akan dipinda untuk menaikkan hukuman penjara minimum menjadi lima tahun, penambahan dua tahun berbanding peruntukan sebelumnya.

Untuk kesalahan berulang, individu terlibat boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun.

Seterusnya, denda di bawah Seksyen 41 juga dinaikkan dari RM20,000 kepada RM50,000 untuk kesalahan pertama, dan sabitan berikutnya boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Pembatalan lesen juga akan ditingkatkan dari tiga tahun menjadi lima tahun.

Sementara itu, bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan bahaya, RUU itu bersetuju mengenakan hukuman atas Seksyen 44 kerana menyebabkan kecederaan.

Dalam Seksyen 44 (1A) pula, pesalah yang memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kecederaan boleh dipenjara antara tujuh hingga 10 tahun, dan didenda dari RM30,000 hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan didenda dari RM50,000 hingga RM100,000.

Mereka juga akan digantung lesen sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk kesalahan pertama, dan 10 tahun untuk kesalahan berikutnya.

Sementara itu, kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian, Seksyen 44 (1) akan diubah untuk meningkatkan hukuman antara 10 hingga 15 tahun dan denda dari RM50,000 menjadi RM100,000.

Kesalahan berulang boleh dipenjara antara 15 hingga 20 tahun, dan didenda dari RM100,000 hingga RM150,000.

Mereka juga tidak akan dibenarkan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun untuk kesalahan pertama, dan minimum 20 tahun untuk pesalah berulang.

Selain itu, RUU itu juga mencadangkan meningkatkan hukuman kerana memandu bagi kesalahan di atas iaitu penjara dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 untuk kesalahan pertama, dengan lesen mereka dibatalkan selama dua tahun.

Pesalah berulang boleh dipenjara hingga lima tahun, dan didenda antara RM20,000 hingga RM50,000, dengan lesen mereka dibatalkan hingga lima tahun.

Hukuman kerana mengendalikan kenderaan ketika berada di bawah pengaruh dadah serta alkohol, walaupun mereka tidak memandu, juga dinaikkan dengan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan penjara sehingga satu tahun untuk kesalahan pertama.

Lesen mereka juga akan dibatalkan sehingga dua tahun, pesalah berulang boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penjara hingga lima tahun, dengan lesen mereka dibatalkan sehingga lima tahun.

Had minimum alkohol dalam sistem darah juga diturunkan menjadi 22 mikrogram dalam 100 ml nafas, 50 mg dalam 100 ml darah, dan 67 mg dalam 100 ml air kencing. – Malaysiapost