Pulau Pinang benar solat tarawih, Aidilfitri, Jumaat di kawasan PKP, PKPB

0
2

PULAU Pinang membenarkan masjid dan surau di beberapa daerah dan mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Peregerakan (PKP) serta PKP Bersyarat, menunaikan solat sunat tarawih, Aidilfitri serta solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd Zakuan Zakaria, berkata namun jumlah jemaah adalah tertakluk kepada kapasiti masjid dan surau.

Katanya, bagi solat sunat Aidilfitri, imam hendaklah membaca surah atau ayat yang pendek ketika solat serta meringkaskan doa dengan kadar tempoh keseluruhan solat termasuk takbir, solat, khutbah dan doa adalah kira-kira 45 minit.

“Imam dan khatib jemputan tidak dibenarkan untuk memimpin solat dan menyampaikan khutbah Hari Raya, hanya imam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sahaja dan khutbah Hari Raya hendaklah diringkaskan dan hanya menggunakan teks khutbah yang disediakan oleh JHEAIPP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, takbir raya menggunakan pembesar suara luar adalah dibenarkan bermula solat Maghrib malam terakhir Ramadan namun amalan takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.

Katanya, jamuan selepas solat sunat hari raya dan penganjuran sebarang majlis rumah terbuka juga tidak dibenarkan namun.

“Sekiranya masjid atau surau hendak menyediakan jamuan makanan, boleh diedarkan secara berbungkus sahaja,” katanya.

Tambahnya, pihak masjid dan surau juga perlu menyediakan ruang solat musafir khusus yang bertanda di kawasan balai lintang atau di ruang tertentu untuk kemudahan pekerja e-hailing seperti Food Panda, Grab Food dan lain-lain di kawasan PKP.

“Mereka yang dikategorikan sebagai musafir perlu membawa sendiri sejadah bersaiz besar dan telekung. Penggunaan ruang solat musafir hanya dibuka selama satu jam selepas masuk waktu solat fardu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here