Kekeliruan SOP, MITI maklum memo pada PDRM guna Twitter

0
1

TULAR di media sosial hari ini berkenaan aduan bahawa prosedur operasi standard (SOP) pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bercanggah.

Ia apabila beberapa pekerja yang menunjukkan surat kebenaran MITI ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) dimaklumkan mereka perlu mendapatkan cop daripada polis.

MITI pada 7 Mei lalu memaklumkan pergerakan rentas daerah atau negeri bagi tujuan kerja tidak memerlukan surat kebenaran PDRM.

Namun begitu, angota polis yang bertugas di SJR memaklumkan tidak menerima sebarang pemberitahuan mengenai hal tersebut.

Justeru, satu pengumuman terbuka dibuat oleh MITI di laman Twitter rasminya, berkenaan SOP terbabit.

“Salam..@PDRMsia @PDRMsia_Trafik mohon maklum ya. Surat MITI untuk tujuan kerja tidak perlu dicop,” ciap MITI.

Ciapan tersebut bagi menjawab pertanyaan satu akaun Twitter yang mengadu situasi yang dihadapi ketika di SJR untuk ke tempat kerja.

“Hari ini polis kata surat dari syarikat saya memerlukan cop polis,” tulis pemilik akaun Twitter itu.

MITI juga merakamkan penghargaan kepada pemilik akuan berkenaan yang memaklumkan kekeliruan yang berlaku, dan menyebut (tag) PDRM di hantaran itu.

“Terima kasih atas makluman Cik.

“Salam.. @PDRMsia @PDRMsia_Trafik mohon maklum ya. Surat MITI untuk tujuan kerja tidak perlu dicop,” tulis MITI.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter lain, teruja dengan respons itu dan menyarankan agar MITI memaklumkan PDRM secara langsung.

“Kami juga sudah memaklumkan secara langsung,” jawab MITI.

Larangan perjalanan rentas negeri dan daerah dikuatkuasakan di seluruh negara hari ini susulan peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun, beberapa pengecualian dibenarkan, termasuk perjalanan ke seluruh negeri atau daerah untuk bekerja sekiranya perniagaan itu mendapat kelulusan MITI. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/10/ciapan-santai-miti-maklum-pdrm-sop-di-twitter-dikecam/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here